ISNIN 21 FEBUARI 2011
Assalammualaikum. Kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya akan menjalankan tugas harian saya untuk pergi ke kelas. Hari ini merupakan hari yang malas bagi saya untuk menghadirkan diri ke kelas. Tapi, saya tetap pergi juga. Sewaktu di dalam bas, saya telah tertarik dengan rancangan radio yang sedang ke udara. Saya tidak pasti, rancangan radio ini daripada saluran mana. Tetapi, saya tertarik dengan ungkapan pantun-pantun yang telah disampaikan oleh penyampai radio tersebut. Penyampai radio ini telah menyampaikan pantun-pantun daripada pendengarnya. Kesemua pantun ini adalah berkaitan dengan soal hati dan juga perasaan. Antara pantun yang saya sempat mendengarnya ialah:
Banyak orang mengetam pulut,
Saya seorang mengetam padi,
Banyak orang karam di laut,
Saya seorang karam di hati.
Berdasarkan pantun ini, dapat dirumuskan bahawa bahasa mempunyai hubungan dengan budaya. Sejajar dengan perkembangan bahasa Melayu contohnya, muncul budaya berpantun dalam masyarakat Melayu. Berdasarkan pantun, sesuatu hasrat yang ingin disampaikan oleh seseorang dapat dinyatakan secara halus melalui pantun. Pantun di atas secara halus menyatakan perihal diri pemantun yang sedang berduka sendirian. Banyak lagi pantun Melayu yang memberikan makna tersirat. Hal ini juga turut didorong oleh faktor budaya masyarakat Melayu yang lemah-lembut dan bersopan santun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan