RABU 23 FEBUARI 2011
Selamat pagi semua, kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya tiada kelas. Oleh sebab itu, saya banyak menghabiskan masa saya di rumah sahaja. Pada hari ini, saya telah menonton filem lagenda P. Ramlee yang bertajuk Nujum Pak Belalang. Saya sangat meminati cerita ini. Jalan ceritanya sangat menarik ditambah pula denga unsur-unsur jenaka di dalamnya membuatkan hati saya terhibur. Dalam cerita ini banyak menggunakan bahasa istana sewaktu Pak Belalang menghadap Sultan. Perbezaan bahasa banyak digunakan dalam cerita ini. Penggunaan bahasa biasa digunakan oleh Pak Belalang sewaktu berkomunikasi bersama anaknya iaitu Belalang. Apabila Pak Belalang menjadi ahli nujum di istana, Pak Belalang menggunakan bahasa istana sewaktu berkomunikasi di dalam istana.
Bahasa istana juga didefinisikan sebagai bahasa dalam, iaitu bahasa yang digunakan atau dipakai oleh golongan raja atau istana. Selain itu, bahasa istana juga dikatakan sebagai bahasa hormat atau bahasa beradat keluarga diraja. Bahasa istana sebenarnya melambangkan ketinggian adat resam Melayu yang begitu hormat akan raja. Bahasa istana mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Salah satunya ialah ciri pemulukan dan pendinaan. Pemulukan bermaksud perbuatan yang memulukan atau menyanjung. Dalam hal ini, perbuatan menyanjung ditujukan kepada raja untuk meletakkan baginda pada taraf yang sebenarnya seperti Duli Yang Dipertuan . pendinaan pula ialah kerendahan diri orang yang berkomunikasi dengan raja. Ciri pendinaan terdapat dalam ganti nama seperti patik, hamba, dan ungkapan-ungkapan lain serta disertai pendinaan. Contohnya seperti patik yang hina-dina. Selain tu juga, bahasa istana juga menggunakan istilah-istilah tertentu seperti bersiram, santap, bersemayam, titah dan sebagainya.
Dapat saya rumuskan di sini bahawa, bahas Melayu atau dalam konteks negara kita adalah disebut sebagai bahasa Malaysia dan amat mementingkan sopan-santun. Kehalusan bahasa Melayu bukan sekadar pada seni bahasanya sahaja , tetapi cara –cara yang dipertuturkan. Sikap bersopan santun dalam bahasa Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu lagi telah melahirkan beberapa kategori bahasa tertentu seperti bahasa istana, bahasa basahan, bahasa dalam, bahasa pasar dan sebagainya. Bahasa istana merupakan bahasa yang digunakan dalam komunikasi yang terhad. Bahasa istana juga tergolong dalam bahasa rasmi dan ia digunakan dalam keadaan formal dan juga tidak formal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan