Isnin, 14 Mac 2011

Sila Tanggalkan Kasut

ISNIN 14 March 2011
Assalammualaikum semua. Hari ini saya tertarik untuk berkongsi cerita mengenai isu kasut. Banyak cerita mengenai isu kasut ini. Pada hari ini, saya menghadiri kelas seperti biasa. Saya tidak pulang kek kolej pada hari ini. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menunaikan solat di kampus sahaja. Saya telah bersolat di salah sebuah bangunan di kampus. Sebelum masuk ke dalam surau wanita, saya terlihat memo yan tertampal pada bahagian pintu. Memo tersebut ialah “ sila tanggalkan kasut anda”. Saya pun terus menanggalkan kasut serta meletakkan di tepi. Saya pun terus masuk. Pada mulanya surau ini tiada orang. Apabila saya masuk saya melihat ramai orang yang sedang menunaikan solat Zohor juga. Tetapi apa yang saya kesali ialah sikap mereka meletakkan kasut di dalam surau. Saya rasa perbuatan ini adalah tidak betul. Saya terfikir apakah fungsinya memo diluar tadi?
            Pada petang itu saya pulang ke rumah. Sebaik sahaja sampai di hadapan pintu rumah saya melihat banyak kasut bersepah diluar rumah. Memo besar sudah ditampal pada bahagian pintu, tetapi tidak dipraktikan. Sia-sia sahaja memo tersebut. Pada pandangan saya, setiap arahan yang dibuat haruslah kita patuhi agar orang sekeliling menyenangi dengan sikap kita. Sekian, terima kasih.

Ahad, 13 Mac 2011

Wajah Kesayangan Hamba

Sabtu 12 March 2011
Assalammualaikum. Kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini merupakan hari cuti saya. Banyak masa saya dihabiskan di rumah sahaja. Perkara menarik yang ingin saya kongsikan bersama ialah mengenai lirik lagu. Kebetulan pada hari ini, saya berminat untuk mendengar lagu-lagu 60-an. Saya tertarik mendengar sebuah lagu ini yang bertajuk Wajah Kesayangan Hamba nyanyian Hail Amir. Berikut merupakan lirik lagu tersebut:
                        Hail Amir (Ahmad Nawab / Chuari Selamat)

Wajah Kesayangan Hamba

Ingin ku milik kasih
Ayu jelita
Wajah cantik berseri
Sinar cahaya

Sopan santun berbudi
Bergaya sederhana
Halus tutur bahasa
Sungguh mulia

Rambut panjang terurai
Bagai sutera
Hias bunga sekuntum
Tambah jelita

Bibir merah delima
Merdu alun suara
Penambat jiwa nan lara
Rasa bahagia

( korus 1 )
Pipi pauh dilayang
Alis matanya lentik
Sekali mataku memandang
Hati tertawan

( korus 2 )
Wajahnya mempersona
Tiada lagi tandingan
Bagai dewi menjelma
Jadi temanku

Datanglah wahai pujaan
Datang padaku
Lukisan wajah kasih
Di ruangan mata

Kalung dirimu sayang
Dengan cinta nan mesra
Wajah kesayangan hamba
Kini ku jumpa

( ulang dari korus1
Saya suka mendengar kata-kata dalam lirik lagu ini.  Lagunya penuh dengan maksud yang mendalam. Bukan itu sahaja, keseluruhan lirik lagu ini bagi saya adalah bersifat simile, iaitu salah stau bahasa kiasan yang digunakan bertujuan membandingkan sesuatu benda, peristiwa atau keadaan dengan benda lain yang hampi sama. Perbandingan secara simile ini merupakan perbandingan yang jelas kerana penulis menggunakan kata-kata seperti umpama, macam, seperti, bagai, laksana dan sebagainya. Berdasarkan lirik lagu di atas bahasa simile yang digunakan seperti:           
Bibir merah delima
Pipi pauh dilayang
Alis matanya lentik
Wajahnya mempersona
Tiada lagi tandingan bagai dewi menjelma                                                                                                                                Rambut panjang terurai bagai sutera

Sabtu, 12 Mac 2011

Jemput Masuk

Jumaat, 11 March 2011
Assalammualaikum. Pada hari ini saya telah bertandang ke rumah rakan saya sewaktu saya mula-mula masuk di universiti. Kebetulan rumahnya tingkat lima. Saya pula tinggal di tingkat empat. Saya pun pergilah ke rumahnya. Setibanya di rumahnya, rakan saya ini telah menjemput saya masuk “ jemputlah masuk ija, jangan malu-malu.” Saya pun tanpa segan silunya pun masuk ke dalam rumah rakan saya ini. Sewaktu saya sampai, kebetulan orang serumah rakan saya ini sedang menikmati sarapan pagi, mereka dengan ikhlasnya menjemput “ jemput makan” saya menikmati sarapan bersama-sama.
            Saya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh mereka ini. Ayat yang digunakan oleh mereka ialah ayat silaan. Ayat silaan ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan menjemput atau mempersila seseorang. Ayat silaan menggunakan kata silaan seperti sila, jemput dan seumpamanya. Kata silaan, lazimnya digunakan pada permulaan ayat seperti : sila datang ke majlis itu

Tolong Jangan Bising

Rabu, 9 March 2011
Assalammualaikum. Kembali lagi ke laman blog saya. Saya masih teringat semasa zaman persekolahan dahulu. Saya masih ingat bagaimana guru saya menggunakan ayat permintaan kepada kami supaya tidak bising sewaktu berada di dalam kelas. “ Tolong jangan bising”. Pada waktu itu kami tidak tahu sama ada ayat permintaan ini betul atau salah, kami mengikut sahaja arahan guru ini. Tetapi pada hakikatnya ayat “tolong jangan bising” ini adalah salah. Contoh ayat lain yang dianggap salah seperti: tolong jangan merokok, sila jangan masuk, sila jangan pijak, minta jangan meludah dan sebagainya.
            Dalam bahasa Melayu, ayat permintaan dan ayat silaan membawa makna yang positif, sedangkan ayat larangan lazimnya membawa makna yang negatif. Oleh sebab itu, kata silaan tidak boleh hadir bersama-sama dengan kata larangan. Ayat-ayat di atas tidak gramatis kerana makna yang didukung bercanggah antara makna positif dengan makna yang negatif dalam satu ayat. Ayat-ayat di atas dianggap betul apabila ditulis seperti yang berikut:
                        Jangan merokok
                        Jangan berludah
Jangan bising
Jangan keluar
Jangan pijak

Jumaat, 11 Mac 2011

Cara Makan

Selasa 8 March 2011
Assalammualaikum. Saya tertarik lagi ingin membicarakan mengenai isu cara makan. Setiap bangsa di dunia ini mempunyai budaya mereka tersendiri. Oleh sebab makan adalah satu perkara yang wajib, cara makan juga merupakan satu budaya. Masing-masing bangsa ada budaya mereka sendiri. Misalnya di negara  kita, orang Cina menggunakan kayu (chopstick) dan orang Barat pula menggunakan sudu dan juga garfu. Orang Melayu pula lebih selesa menggunakan tangan. Orang Melayu biasa menggunakan tangan kerana:
Pertama- kita yakin bahawa, tangan kita sendiri lebih bersih daripada sudu dan garfu. Kerana kita sendiri yang membasuh tangan kita. Sedangkan sudu dan garfu dibasuh oleh orang lain tanpa dilihat oleh kita.
Kedua- kita yakin bahawa tangan kita bersih kerana hanya tangan kita seorang sahaja yang menggunakan tangan sendiri. Bukan seperti sudu dan garfu yang sudah banyak digunakan oleh orang lain.

Adab Ketika Ketawa

Isnin 7 March 201
Assalammualaikum. Kembali lagi ke laman blog saya. Saya hari ini ingin membincangkan isu adab ketika ketawa. Saya sendiri suka ketawa. Ketawa saya tidak begitulah kuat. Tetapi kadang-kadang saya berasa malu juga kerana, mungkin ada masanya ketawa saya melebihi batas-batasnya. Saya pernah ditegur oleh ibu saya, kata ibu “kita tidak boleh ketawa lebih-lebih nanti gelap hati jadinya”. Perkara itu saya simpan dalam ingatan saya sehinggalah sekarang. Saya ada membaca sebuah buku ini yang menjelaskan bahawa jauhilah jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati. Sama seperti kata ibu.
Dari : Riwayat Abu Daud
 Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah,  mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.
Gelak ketawa dilarang Islam. Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya. Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa berbahak- bahak adalah makruh. Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga. Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang Mukmin J

Isu Bahasa Rojak

SABTU 5 MARCH , 2011
Saya tertarik untuk membicarakan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat kita sendiri. Masa senggang saya, ada kalanya saya menghabiskannya dengan membaca bahan-bahan kartun. Misalya kartun Ujang dan Apo. Saya dapati dalam perbualan kartun banyak menggunakan bahasa rojak. Majalah komik sering disalahkan kerana menjadi punca Bahasa Rojak dan isu ini sering diperdebatkan. Perkataan atau frasa yang ditulis dalam Bahasa Rojak sering ditekstebalkan untuk memungkinkan pembaca mengenalpasti mereka (seperti dalam majalah Ujang dan Apo?). Secara khususnya, menjelang akhir tahun 2003, majalah Gempak dan Kreko menggunakan bahasa yang lebih formal dan meminimakan penggunaan Bahasa Rojak. Bahasa Rojak digunakan secara meluas terutama dalam kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekaligus membimbangkan orang dewasa tetang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Langkah kerajaan Malaysia memutuskan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutama di sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan Bahasa Rojak adalah satu langkah yang bijak . Sebagai contoh, TV 3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh oleh sebab kebimbangan orang ramai.

Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Inggeris)

  • Kau memang terror (hebat) la!
  • Tempat makan ni best (bagus) sangat!

Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Cina)

  • Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
  • Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (bertolak ansur) punya maa!
  • Apasal (Kenapa) lu buat ini kerja cincai (tak sempurna)?


Pepatah

JUMAAT 4 MARCH, 2011
Assalammualaikum, semua. Saya tertarik dengan pepatah yang digunakan pada iklan jalan raya iaitu  Biar lambat asalkan selamat. Pandulah dengan berhati-hati. Di sini, perkara yang ingin saya bicarakan ialah mengenai penggunaan pepatah dalam kehidpan seharian kita. Pepatah adalah salah satu unsur dalam peribahasa Melayu. Pepatah ialah kiasan yang mengandung erti sebenarnya, digunakan untuk mematahkan dan memutuskan perbicaraan orang lain. Selain itu juga, pepatah berfungsi sebagai pedoman dlaam kehidupan bermasyarakat.Pepatah lebih menitikberatkan sifat ringkasanya, bijak perkataannya dan benar pengajarannya. Contoh pepatah ialah: alah bisa tegal biasa, bahasa menujukkan bangsa dan sebagainya.

ADAB KETIKA DI MEJA MAKAN

KHAMIS 3 MARCH, 2011
Assalammualaikum. Kembali ke laman blog saya.  Hari ini saya ingin menceritakan adab ketika di meja makan. Hari ini saya bersama rakan-rakan telah menikmati hidangan sarapan pagi di kafe Proton City, memandangkan kelas kami di sana pada waktu pagi. Saya bersama rakan-rakan menikmati sarapan. Semasa makan, kami menjaga adab dengan baik. Hal ini demikian kerana, perlakuan atau adab ketika makan melambangkan taraf dan hubungan sosial dan perangai sebenar seseorang individu. Pada pendapat saya tidak ramai yang mengetahui atau menitiberatkan adab makan di meja makan.
Pada pendapat saya, individu yang mempunyai adab yang baik di meja makan lazimnya dilabel sebagai seorang yang dibesarkan dengan penuh tatasusila dan dihormati. Seseorang yang nampak gelojoh, tidak sabar dan tidak mempedulikan orang lain dianggap sebagai seorang yang tiada didikan dan kurang ajar. Seseorang yang ingin menikmati hidangan di meja makan haruslah duduk dengan tegak dan rapat dengan meja untuk mengelakkan  makanan daripada tertumpah. Percakapan sewaktu makan amat tidak digalakkan terutamanya ketika mulut penuh dengan makanan. Semasa mengunyah makanan haruslah secara tertib dan juga tenang.  Saya berharap. Perkara yang saya bincangkan di sini dapat dijadikan sebagai panduan dan pengajaran kepada kita semua. Assalammualaikum.

ADAB DENGAN ORANG TUA

Rabu 2 MARCH, 2011
Assalamnmualaikum semua. Hari cuti seperti biasa merupakan hari cuti bagi saya. Kesempatan ini saya gunakan untuk pergi ke pekan Tanjung Malim. Semasa di pekan saya, terserempak dengan seorang perempuan tua bersama anak gadisnya dalam lingkungan 12 tahun. Saya tertarik dengan perlakuan anak gadisnya ini. Anak gadis ini, sangat menghormati ibunya. Dia akan segera mengangkat bakul yang dipenuhi barang-barang yang dibeli  serta memimpin tangan ibunya. Bukan itu sahaja, ketika di pondok bas, saya melihat gadis ini tanpa segan silunya memberikan tempat duduk kepada seorang lelaki tua dalam lingkungan 50-an. Sungguh baik gadis ini! Dia telah diberikan didikan yang baik sejak kecil lagi oleh ibunya.
            Adab ketika bersama orang tua sangatlah penting kerana, jika tersalah adab pasti akan menguris hati mereka. Pada pandangan saya, setiap kali bertemu dengan orang yang lebih tua haruslah memberi salam dengan penuh keikhlasan. Saya telah dididik oleh keluarga saya sejak kecil lagi. Ciumlah tangan kedua-dua ibu bapa kita kerana sekurang-kurangnya dapat memberikan perasaan kasih terhadap diri kita. Selain tu juga, angan sesekali mengungkap kata kesat atau mengherdik orang tua kerana ini akan mengguris hati dan perasaan mereka. Jika tak mampu berkata-kata anda bolehlah menulisnya bagi mengurangkan kemarahan. Sebagai seorang anak, kita haruslah selalu menghormati kedua-dua ibu bapa kita kerana merekalah yang bersusah payah membesarkan kita. 

Gaya Bahasa

ISNIN 28 FEBUARI, 2011

Assalamualaikum semua, kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini saya ingin berkongsi cerita mengenai gaya bahasa yang digunakan sewaktu menghasilkan puisi. Saya telah terdengar seseorang mendeklamasikan sajak. Sajak yang dideklamasikan mempunyai gaya bahasa yang pelbagai sehingga menarik perhatian para pembaca mahupun pendengar. Pada pendapat saya gaya bahasa yang baik dalam sesebuah penulisan puisi, boleh meninggalkan kesan yang amat bermakna kepada diri pendengar.
Gaya bahasa merupakan cara penulis menggunakan bahasa dengan baik dan kreatif dalam mengungkapkan tema dan persoalan dalam sesuatu karyanya. Gaya bahasa merangkumi semua aspek gaya bahasa iaitu pertama, pemilihan kata (diksi) –setiap kata yang digunakan mestilah bersesuaian  dengan karya bagi menggambarkan watak, suasana, latar dan sebagainya. Kedua ialah pembentukan ayat (sintaksis) –ayat-ayat yang panjang, ayat pendek, atau sederhana perlu digilirkan dalam sesuatu karya untuk menjelaskan watak, perlakuan, dan suasana, selain supaya pembaca tidak berasa bosan. Terdapat unsur-unsur gaya bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya untuk memantapkan karya puisi. Contohnya: gaya bahasa perbandingan- hiperbola, metafora, personifikasi, simile, gaya penegasan –repitisi, response, epifora, inversi. Gaya bahasa yang membawa maksud pertentangan –paradok dan sebagainya.

Selasa, 8 Mac 2011

LARAS IKLAN

AHAD 27 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua. Saya menjalankan tugas saya seperti biasa. Bangun pada waktu pagi, membuat segala tugasan yang telah diberikan dan juga menikmati makan tengahari bersama rakan. Selama saya tinggal di kawasan Kolej Harun Aminurrashid ini, banyak perkara yang menarik minat saya. Setiap kali saya berjalan, saya akan dapat melihat pelbagai jenis iklan ditampalkan pada papan kenyataan sekitar kolej. Misalnya, iklan bas untuk pulang ke kampung, iklan print, iklan reload kad, iklan minyak wangi dan sebagainya. Saya pernah terbaca ikaln minyak wangi. Saya tertarik dengan kata-kata  yang digunakan. Saya terus menelefon orang yang menjual minyak wangi itu. Di sini  saya ingin menyatakan bahawa, iklan minyak ini telah dapat mempengaruhi diri saya untuk membelinya.
                                                                                                  




ANDA SUKA WANGIAN??..SEDANG
MENCARI MINYAK WANGI TANPA ALKOHOL
BOLEH DIGUNAKAN TANPA WAS-WAS
HAGRA MURAH…
PATI WANGI ASLI MENANTI..
HARUM SEPENJANG MASA..MESTI MAU CUBA
 Boleh hubungi saya di no 012 7788738 (ayu)


            Kebiasaanya, laras bahasa iklan ialah bentuk bahasa yang digunakan dalam bidang perniagaan dengan tujuan memperkenalkan barang yang hendak diniagakan. Oleh sebab kemajuan dalam dunia perniagaan berlaku begitu pesat, jenis perniagaan juga pelbagai, persaingan dalam perniagaan juga banyak, perhubungan antara pengguna dengan penjual mejadi bertambah sukar, maka pengiklanan barang-barang perniagaan menjadi perlu. Pengiklanan pula memerlukan laras bahasa perniagaan yang betul dan sesuai supaya barang-barang yang ditawarkan itu dapat diketahui oleh para pengguna. Iklan perniagaan diperlukan supaya barang-barang yang dijual dapat menarik perhatian pengguna.Iklan juga bertujuan melariskan jualan dan memperoleh keuntungan sebnayak mungkin. Beberapa kaedah digunakan untuk mencapai tujuan ini. Salah satunya ialah kaedah bahasa yang digunakan. Laras bahasa yang digunakan dalam ikaln menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk memperkenalkan barangan serta memujuk para pengguna. Antaranya seperti kaedah memujuk, kaedah mengumpan, kaedah perbandingan, kaedah menyakinkan dan sebagainya.

LEBAH DAN MADU

Assalammualaikum semua. Kembali lagi ke laman blog saya. Pada hari ini, saya tertarik untuk membaca sebuah sajak yang bertajuk Lebah dan Madu karya Siti Zaleha M. Hasyim. Bagi saya, sajak beliau sangat baik dan mudah  dibaca. Berikut merupakan sajak Lebah dan Madu.
                        Lebah dan Madu
                        Di pohon sana
Pada dahan pohon tualang
Lihatlah lebah-lebah
Sudah membuat sarang
Serangga yang cergas
Sentiasa hidup sepakat
Sikap yang terpuji

Ada ratu ada pekerja
Berkumpul dan bekerjasama
Madu manisnya
Penawar penyakit manusia.

Lebah-lebah
Pada dahan pohon tualang
Kau membuat aku sedar
Harus selalu berusaha
Dan meninggalkan jasa
Seperti madumu yang istimewa.
           
Dalam sajak Lebah dan Madu ini, beliau banyak mengunakan gaya bahasa yang puitis. Misalnya seperti gaya bahasa personifikasi, simile, hiperbola, sinkope, perlambangan, asonansi  dan aliterasi. Gaya bahasa personifikasi bermaksud benda atau binatang seolah-olah manusia. Sifat-sifat seperti perasaan, perlakuan dan keinginan manusia diberikan pada benda, binatang, idea dan seumpamanya menjadikannya seolah-olah seperti manusia. Gaya bahasa personifikasi dalam sajak dapat dilihat pada frasa ayat serangga yang cergas. Contoh gaya bahasa personifikasi lain adalah seperti:
                        Daun nyiur melambai-lambai kupulang
                        Segala peristiwa merangkak kembali dalam ingatan
                        Kasihku menyala kembali

Sabtu, 5 Mac 2011

Bahasa Istana

RABU 23 FEBUARI 2011
Selamat pagi semua, kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya tiada kelas. Oleh sebab itu, saya banyak menghabiskan masa saya di rumah sahaja. Pada hari ini, saya telah menonton filem lagenda P. Ramlee yang bertajuk Nujum Pak Belalang. Saya sangat meminati cerita ini. Jalan ceritanya sangat menarik ditambah pula denga unsur-unsur jenaka di dalamnya membuatkan hati saya terhibur. Dalam cerita ini banyak menggunakan bahasa istana sewaktu Pak Belalang menghadap Sultan. Perbezaan bahasa banyak digunakan dalam cerita ini. Penggunaan bahasa biasa digunakan oleh Pak Belalang sewaktu berkomunikasi bersama anaknya iaitu Belalang. Apabila Pak Belalang menjadi ahli nujum di istana, Pak Belalang menggunakan bahasa istana sewaktu berkomunikasi di dalam istana.
            Bahasa istana juga didefinisikan sebagai bahasa dalam, iaitu bahasa yang digunakan atau dipakai oleh golongan raja atau istana. Selain itu, bahasa istana juga dikatakan sebagai bahasa hormat atau bahasa beradat keluarga diraja. Bahasa istana sebenarnya melambangkan ketinggian adat resam Melayu yang begitu hormat akan raja. Bahasa istana mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Salah satunya ialah ciri pemulukan dan pendinaan. Pemulukan bermaksud  perbuatan yang memulukan atau menyanjung. Dalam hal ini, perbuatan menyanjung ditujukan kepada raja untuk meletakkan baginda pada taraf yang sebenarnya seperti Duli Yang Dipertuan . pendinaan pula ialah kerendahan diri orang yang berkomunikasi dengan raja. Ciri pendinaan terdapat dalam ganti nama seperti patik, hamba, dan ungkapan-ungkapan lain serta disertai pendinaan. Contohnya seperti patik yang hina-dina. Selain tu juga, bahasa istana juga menggunakan istilah-istilah tertentu seperti bersiram, santap, bersemayam, titah dan sebagainya.
            Dapat saya rumuskan di sini bahawa, bahas Melayu atau dalam konteks negara kita adalah disebut sebagai bahasa Malaysia dan amat mementingkan sopan-santun. Kehalusan bahasa Melayu bukan sekadar pada seni bahasanya sahaja , tetapi cara –cara yang dipertuturkan. Sikap bersopan santun dalam bahasa Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu lagi telah melahirkan beberapa kategori bahasa tertentu seperti bahasa istana, bahasa basahan, bahasa dalam, bahasa pasar dan sebagainya.  Bahasa istana merupakan bahasa yang digunakan dalam komunikasi yang terhad. Bahasa istana juga tergolong dalam bahasa rasmi dan ia digunakan dalam keadaan formal dan juga tidak formal.

Jumaat, 4 Mac 2011

Sendawa

SELASA 22 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua. Seperti biasa hari ini merupakan hari yang sangat letih bagi diri saya. Jadual kelas saya dari jam 8 pagi sehinggalah jam 7 petang. Memandangkan kami tidak dapat pulang ke rumah, saya bersama rakan mengambil keputusan untuk menikmati juadah tengahari di kampus sahaja. Saya bersama rakan mengambil keputusan untuk makan di kafe Bitarasiswa. Waktu tengahari, memanglah ramai pelajar yang makan di Bitarasisiwa ini. Jadi, keadaan di sini agak menyesakkan. Nasib kami baik kerana kami mendapat tempat duduk. Selepas itu, kami pun menikmati juadah tengahari. Ketika saya makan, saya terdengar suatu suara seakan-akan sendawa kekeyangan yang agak kuat. Saya bersama rakan agak terkejut lalu melihat ke arah bunyi tersebut. Barulah kami sedari bahawa, seorang lelaki yang sedang bersendawa dengan kuatnya. Tanpa rasa bersalah, lelaki ini terus ketawa kuat akibat perlakuannya tanpa segan silunya.
            Pada pendapat saya, lelaki ini tidak sepatutnya bersendawa sebarangan secara kuat di hadapan orang umum. Sedangkan saya bersama rakan-rakan yang lain turut mendengar sendawanya. Sendawa selepas makan adalah suatu perkara yang dianggap tidak elok bagi masyarakat Melayu. Perlakuan ini adalah amat memalukan. Meskipun hal ini akan dianggap remeh, bila difikirkan ia adalah amat memalukan. Perkara ini harus dikawal kerana takut kelak akan sering melakukannya sehingga tidak mampu menahannnya.

Pantun Melayu

ISNIN 21 FEBUARI 2011
Assalammualaikum. Kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya akan menjalankan tugas harian saya untuk pergi ke kelas. Hari ini merupakan hari yang malas bagi saya untuk menghadirkan diri ke kelas. Tapi, saya tetap pergi juga. Sewaktu di dalam  bas, saya telah tertarik dengan rancangan radio yang sedang ke udara. Saya tidak pasti, rancangan radio ini daripada saluran mana. Tetapi, saya tertarik dengan ungkapan pantun-pantun yang telah disampaikan oleh penyampai radio tersebut. Penyampai radio ini telah menyampaikan pantun-pantun daripada pendengarnya. Kesemua pantun ini adalah berkaitan dengan soal hati dan juga perasaan. Antara pantun yang saya sempat mendengarnya ialah:
                        Banyak orang mengetam pulut,
                                    Saya seorang mengetam padi,
                        Banyak orang karam di laut,             
Saya seorang karam di hati.
Berdasarkan pantun ini, dapat dirumuskan bahawa bahasa mempunyai hubungan dengan budaya. Sejajar dengan perkembangan bahasa Melayu contohnya, muncul budaya berpantun dalam masyarakat Melayu. Berdasarkan pantun, sesuatu hasrat yang ingin disampaikan oleh seseorang dapat dinyatakan secara halus melalui pantun. Pantun di atas secara halus menyatakan perihal diri pemantun yang sedang berduka sendirian. Banyak lagi pantun Melayu yang memberikan makna tersirat. Hal ini juga turut didorong oleh faktor  budaya masyarakat Melayu yang lemah-lembut dan bersopan santun.

Rabu, 2 Mac 2011

Apa Mau Bikin

AHAD 20 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua, kembali lagi ke laman blog saya. Hari in merupakan hari cuti saya. Masa saya banyak dihabiskan dengan melakukan segala tugasan. Ada kalanya, saya mendengar radio dan adakalanya saya menyanyi kecil bagi menghiburkan hati. Tetapi apabila bosan saya duduk di rumah, saya mengambil keputusan untuk turun ke bawah. Tujuannya hanyalah satu, iaitu melihat rancangan yang sedang berlangsung di televisyen. Saya tertarik dengan rancangan Melodi yang bersiar di TV3. Ketika itu, saya tertarik dengan percakapan yang disampaikan oleh David Teoh mengenai dunia perfileman di Malaysia. David Teoh merupakan seorang yang berbangsa Cina, tetapi beliau cuba berusaha menyampaikan sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa Melayu.
            Bahasa pasar yang telah digunakan oelh David Teo ini juga disebut juga sebagai bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu. Pelat sebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Selain itu, bahasa pasar adalah tidak gramatis kerana mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan. Bahasa pasar menggunakan perkataan ‘banyak’ sebagai kata penguat.

Ahad, 27 Februari 2011

Amalan Kebersihan Budaya Kita

JUMAAT 18 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua. Kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya bersama rakan menghadiri kuliah di Proton City. Kelas pada hari ini tamat pada jam 5 petang. Selepas habis kelas seperti biasa, saya pulang ke rumah. Setibanya di rumah, mata saya terus tertumpu pada bekas makanan di atas meja rumah.Hati saya terdetik ingin tahu siapakah yang makan sebegitu rupa. Nasi yang basi hanya dibiarkan di atas meja sahaja. Pinggan yang sudah digunakan pula tidak dicuci. Ikutkan hati saya, saya ingin sahaja terus menegur perbuatan yang tidak baik ini. Sudah lama saya perhatikan, tetapi kejadian ini semakin melampau apabila dibiarkan.
            Pada malam itu, satu mesyuarat tergempar rumah telah dilakukan. Rupanya, bukan saya seorang sahaja yang menyedari sikap yang tidak baik itu. Tetapi ada juga yang tidak senang dengan perbuatan itu.  Perbuatan tidak menjaga kebersihan bukanlah amalan dan budaya kita. Kita tidak seharusnya mengambil remeh terhadap hal kebersihan ini, kerana dengan menjaga kebersihanlah akan memperlihatkan keperibadian kita.
            Mesyuarat pada malam itu dimulakan dengan pembacaan doa. Selepas itu teguran daripada ketua rumah. Penggunaan bahasa yang digunakan oleh ketua penuh berhemah dan membina. Tegurannya bukan tertumpu kepada orang yang melakukan kesalahan tersebut, malah kepada kami semua juga untuk dijadikan iktibar dan juga pedoman. Sekian, terima kasih.

Khamis, 24 Februari 2011

Bahasa Mesra

RABU 16 FEBUARI 2011
Hari ini merupakan hari cuti bagi saya. Hari yang tidak dipenuhi langsung dengan jadual kuliah. Jadi saya mengambil keputusan untuk duduk di rumah sahaja. Di rumah saya menghabiskan masa dengan menyiapkan segala tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Selepas selesai membuat tugasan, saya terus mencapai sebuah novel yang bertajuk “Tak Secantik Husna”. Saya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh penulisnya. Watak  utama dalam novel ini ialah Tija.  Penulis novel ini bijak menggunakan bahasa mesra dalam menggambarkan perwatakan Tija yang sedikit manja terhadap ahli keluarganya. Misalnya:
“ tak ada apa Tok Wan. Ni ada tempeyek untuk Mak Tok. Sorry Tok Wan bagi short notis, tak sempat Tija nak belikan cklat kegemaran Tok Wan tu. Yang ni pulak, hah.. tentulah hadiah untuk peminat-peminat Tija nanti” balas Tija tersenyum manja.
Berdasarkan dialog ini, jelas menunjukkan bahawa terdapatnya bahasa mesra di dalam perbualan seharian kita. Bahasa mesra digunakan untuk bercakap dengan anggota kerabat keluarga sendiri. Bahasa ini hanya boleh digunakan apabila berinteraksi sesama sendiri dan di dalam kawasan rumah keluarga. Selain itu juga, bahasa mesra juga boleh digunakan semasa bercakap dengan rakan sebaya.

"Tangkap Cintan"

SELASA 15 FEBUARI 2011
Assalammulaikum semua. Kembali lagi ke halaman blog saya. Hari ini pelajar-pelajar UPSI mendapat cuti sempena hari Maulidur Rasul. Jadi inilah peluang yang saya ada bersama rakan –rakan  untuk pergi ke pekan Tanjung Malim. Hasrat untuk pergi ke pekan Tanjung Malim sudah lama dinyatakan, tetapi memandangkan tidak ada masa yang sesuai dan pelbagai kekangan hasrat ini terpaksa ditangguhkan dahulu. Pada hari cuti inilah, saya bersama rakan telah pergi ke pekan Tanjung Malim. Setibanya di pekan, saya ingin masuk ke suatu kedai ini untuk membeli sedikit barang. Sebelum masuk ke dalam kedai, di kaki lima berdekatan dengan kedai itu terdapat sekumpulan  remaja sedang melepak. Apabila saya dan rakan lalu di hadapan mereka, mereka akan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.  Cara bercakap mereka juga seperti menggunakan bahasa slanga.Perkara yang tidak dapat saya lupakan ialah, apabila salah seorang daripada mereka berkata seperti ini:
            “gua dah tangkap cintan la dengan awek ni”
            (aku sudah jatuh cinta dengan gadis ini)
           
            Apabila mendengar kata-kata sebegini perasaan saya semakin gentar. Tetapi syukurlah mereka tidak mengganggu kami. Apa yang saya ingin bincangkan pada hari ini ialah penggunaan bahasa slanga dalam kalangan generasi muda atau remaja. Penggunaan perkataan slanga seperti cintan dan awek menyebabkan pendengar lain merasakan pengguna bahasa bahasa sudah benar-benar  sudah jatuh cinta dengan saya. Melihat fenomena ini, saya dapati penggunaan bahasa slanga dalam kalangan orang muda ataupun remaja boleh memberi kesan negatif kepada bahasa slanga itu sendiri, kesan kepada masyarakat, dan juga dalam bidang pendidikan. Sekiranya masyarakat menggunakan bahasa slanga secara kerap, akibatnya mereka dipersepsikan sebagai seorang yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan sempurna. Begitu juga kesan kepada pendidikan di Malaysia. Memandangakan pendidikan di Malaysia semakin mencabar, terutamanya dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa utama atau bahasa pengantar di sekolah. Apabila murid-murid di sekolah kerap menggunakan bahasa slanga, sekali gus menyebabkan mereka lemah dalam pertuturan dan penulisan bahasa Melayu.

Sabtu, 19 Februari 2011

Dialek

ISNIN 14 FEBUARI 2011
Assalammualikum semua. Selamat kembali. Hari Isnin merupakan hari yang malas bagi saya, kerana bagi saya hari ini merupakan hari pertama dalam satu minggu setelah dua hari bercuti. Seperti biasa saya akan menaiki bas ke kampus ataupun ke Proton City untuk menghadirikan diri ke kelas. Apa yang ingin saya katakan di sini bahawa, perkara atau peristiwa menarik yang berlaku pada diri saya sering kali berlaku di dalam bas. Hal ini kerana, di dalam bas kita dapat mendengar perbualan mahasiswa ataupun mahasisiwi ini dengan jelasnya. Apa yang menarik minat saya adalah penggunaan bahasa dialek dalam perbualan. Saya telah terdengar perbualan tiga orang pemuda ini di dalam bas. Mereka ini duduk di bahagian kerusi belakang bas. Kebetulan saya berdiri berdekatan dengan mereka. Saya mendengar salah seorang daripada mereka  menyebut huruf “a” pada akhir kata dalam perkataan seperti apa sangat berbeza dari bunyi yang asal. Saya mendengar salah seorang daripada tiga pemuda ini menyebut “apέ”.
            Apabila saya mendengar pemuda ini bercakap begitu, saya tahulah bahawa besar kemungkinan pemuda ini berasal dari Parit, Perak Darul Ridzuan. Saya sendiri juga berasal dari Perak. Tetapi bukan dari Parit.  Selepas mendengar perbualan mereka saya meminta rakan saya dari Kelantan, Kedah, Johor, Melaka untuk menyebut kembali perkataan apa
            Hasil dapatan kajian saya, saya mendapati bahawa bahasa Melayu mempunyai banyak dialek yang berbeza dari segi sebutan, perbendaharaan kata, dan tatabahasa. Orang Kelantan akan menyebut perkataan “apa” kepada “apб” manakala “apÉ™” di Johor, Melaka, dan Selangor. Menurut Noriah Mohammad dialek ini wujud apabila sesebuah kelompok manusia menunjukkan persamaan pertuturan dalam kelompok mereka, tetapi pada masa yang sama menunjukkan perbezaan dengan kelompok lain sewaktu menggunakan bahasa yang sama.

Isnin, 14 Februari 2011

Membuang air kecil atau kencing?

AHAD 13 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua, kembali lagi ke blog saya. Hari ahad merupakan hari minggu yang sangat bermakna kepada kami yang bergelar mahasiswa. Hal ini kerana, pada hari ini kami semua akan menghabiskan masa di rumah sahaja dan tidak perlu ke kelas. Seperti biasa saya bersama rakan akan keluar pada waktu tengahari untuk membeli makanan. Sementara menunggu kawan saya, saya mengambil keputusan untuk duduk pada bahagian tempat menonton televisyen. Apa yang menarik perhatian saya di sini ialah, penggunaan bahasa halus dalam kalangan pelajar di UPSI ini. Ada seorang gadis di hadapan saya ini, cara cakapnya boleh dikatakan sangat lantang sehingga saya di belakangnya turut terdengar perbualannya. Saya tertarik dengan bahasa yang digunakan olehnya:
Gadis: aku nak kencing la, korang pergi dulu la. Aku dah tak tahan ni. Aku balik rumah jap tau.
Komen saya ialah, gadis ini tidak seharusnya menggunakan bahasa halus. Perkataan kencing, boleh digantikan dengan membuang air kecil. Memang perkataan kencing sudah sinonim dengan perbualan seharian kita. Tetapi, jika didengari oleh jantina lain sudah tentu tidak elok untuk didengari.

Laras Bahasa

SABTU 12 FEBUARI 2010
Hari ini merupakan hari cuti bagi saya. Tiada kuliah membuatkan hati saya ketawa riang. Dalam jam 7 pagi, saya bergegas  turun ke bawah kolej. Tujuannya hanya satu, saya ingin melihat berita pagi bersiaran di TV3. Ramai juga pelajar lain yang  turun untuk menonton televisyen, tidak ketinggalan juga yang menghadiri  aktiviti kokurikulum. Saya menontonrancangan berita sehinggalah sampai ke penghujungnya. Apa yang menarik perhatian saya ialah, di dalam rancangan berita, mempunyai pelbagai laras bahasa yang digunakan. Sebagai contohnya seperti laras sukan, laras ekonomi dan sebagainya.
            Laras bahasa merupakan ciri bahasa yang bersifat umum. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza melahirkan laras. Penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan situasi dan faktor lain yang mewujudkan kata-kata yanag tidak sama. Laras bahasa juga didefinisikan sebagai gaya dalam penggunaan sesuatu bahasa. Laras bahasa biasanya berubah-ubah mengikut situasi. Misalnya, dalam rancangan berita banyak terdapat pelbagi jenis laras digunakan seperti laras sukan dan ekonomi. Ciri laras sukan yang digunakan ialah seperti finalti, separuh masa akhir, kad kuning, tendangan kencang, pukulan hebat dan sebagainya. Manakala laras ekonomi yang digunakan di dalam berita adalah seperti harga saham, pasaran, wang ringgit dan sebaginya.
Dapat disimpulkan di sini bahawa, gabungan penggunaan laras bahasa dalam rancangan berita dapat dapat memberikan kesan positif pada keindahan bahasa dan keberkesanan komunikasi. Gabungan pelbagai laras bahasa juga memberikan makna bagi gaya bahasa. Cara ini dapat memikat pembaca dan pendengar supaya terus memberikan tumpuan terhadap bahan yang dibaca atau didengar.

Khamis, 10 Februari 2011

Bahasa Kasar

KHAMIS 10 FEBUARI 2011
Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini seperti biasa saya menghadirkan diri ke kelas. Kelas saya pada hari ini ialah di Proton City dari jam 8 pagi sehinggalah 10 pagi. Selepas kelas tamat, saya bersama rakan-rakan ingin ke kampus. Jadi kami terpaksa menunggu bas UPSI ke kampus. Kebanyakan pelajar bersama-sama menanti bas untuk ke kampus. Tidak sampai dalam 10 minit bas pun sampai. Saya agak lambat sedikit menaiki bas. Jadi saya hanya berdiri berdekatan dengan pemandu dan juga pintu bas. Setibanya di kampus, suatu kejadian telah berlaku, di mana pemandu bas yang saya naiki itu tiba-tiba marah. Barulah saya tahu, yang pemandu bas ini marah kepada pemandu lori yang meletakkan lorinya di kawasan tempat bas dan juga berdekatan dengan selekoh. Pemandu bas UPSI ni pun melenting lalu menjerit kepada pemandu lori itu.
            Bodoh! Tak ada otak ke! Dah tau tempat bas masih parking kat sini.
            (Lalu pemandu lori segera mengalihkan kenderaannya ke tempat lain)
            Apabila saya mendengar jeritan pemandu bas ini, hati saya sedikit terkilan kepadanya. Sebelum saya menaiki basnya, pemandu ini sempat tersenyum kepada saya dan menasihati saya supaya pengang kuat-kuat. Saya agak terkilan dengan perlakuan pemandu bas ini, menghamburkan kata-katanya dengan begitu kasar lain. Bagi saya memang salah pemandu lori itu meletakkan lorinya pada tempat yang tidak sepatutnya, tetapi sebagai manusia, kita tidak seharusnya menghamburkan kata-kata sebegitu. Besar kemungkinan mungkin boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan.  Oleh sebab itu, segala percakapan atau tutur kata kita haruslah berhati-hati. Seharusnya kita banyakkan bersabar. 
Terima kasih.
            

Rabu, 9 Februari 2011

Bahasa Sopan

SELASA 8 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua. Kembali semula ke laman blog sosiolingusitik saya lagi. Pada hari ini apa yang ingin saya kongsikan kepada kalian ialah mengenai bahasa sopan.  Seperti biasa setiap hari Selasa saya akan makan di luar. Hal ini kerana pada hari ini saya tidak sempat untuk masak sendiri di rumah memandangkan jadual kuliah saya sangat padat. Jadi pada malam ini, saya bersama rakan telah keluar makan malam bersama berdekatan dengan kolej kediaman kami. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah penggunaan bahasa yang sopan. Berikut merupakan perbualan di antara saya bersama seorang pelayan di salah sebuah restoran.
            Pelayan: Encik hendak makan apa?
            Lelaki: Nasi goreng kampung satu.
            Pelayan: Minum?
            Lelaki: Milo suam ye
            Pelayan: kakak nak makan apa?
            Saya: (sambil terkejut) nasi goreng kampung juga.
            Pelayan: minum kak?
            Saya: air suam.
            Pelayan berlalu pergi.
Apakah ciri-ciri bahasa sopan? Bahasa sopan ialah menggunakan dua ciri yang ketara. Pertama, ia menggunakan bentuk sapaan yang padan dengan orang yang ditegur atau dilawan cakap. Kedua, ia menggunakan peringkat atau taraf bahasa yang sesuai dengan konteks percakapan. Dengan kata lain menggunakan bentuk bahsa hormat apabila mahu menghormati orang yang dilawan cakap. Berdasarkan peristiwa ini, pelayan restoran ini menggunakan bentuk sapaan hormat Encik apabila bertanya kepada pelanggan lelaki. Apabila dia bertanya kepada saya sebagai pelanggan wanita dia, pelayan ini mengubah bentuk sapaan hormat itu dengan bentuk sapaan keluarga kakak. Perbuatan pelayan ini tidak menghormati pelanggan wanita, walaupun bagi dia, itulah hormat.

Bahasa dan Bujukan

ISNIN 7 FEBUARI 2011
Assalamualaikum semua, hari ini saya menjalankan rutin harian saya seperti biasa. Selalunya pada hari ini kelas saya adalah pada jam 9 pagi. Jadi, saya mengambil kesempatan masa yang ada pada pagi itu untuk turun ke bawah Foyer blok 1. Saya duduk di bahagian tempat menonton televisyen. Mata saya tertumpu pada rancangan TV3 iaitu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI). Bukan sekali saja saya memerhatikan peristiwa ini, tetapi sudah kerap kali.
            Pengacara: Selamat pagi. Siapa di sana?
            Pemanggil: Saya Deris bin Mat.
            Pengacara: Encik Deris, encik dari mana?
            Pemanggil: Dari (pada) Alok Merah, dekat Aloq Setaq
            Pengacara: Oi, apa habaq?
            Terus pengacara bercakap dalam dialek Kedah.
Apa yang saya ingin katakan di sini bahawa, menurut Abdullah Hassan peristiwa ini ada teorinya yang dikenali sebagai Teori Homofili.  Ada orang mengatakan bahawa orang yang lebih mudah dipercayai ialah orang yang mempunyai banyak persamaan dengan kita. Kita mempunyai banyak sifat, bahasa kegemaran, selera, pakaian, muzik dan sebagainya. Lagi banyak persamaan dengan orang yang mendengar kita , lebih mudahlah orang itu mempercayai kita. Oleh sebab itu, sekiranya kita hendak membujuk orang, moleklah kita menggunakan teori ini, iaitu mendekatkan diri kita kepada orang yang akan kita bujuk. Selamat mencuba.

Ahad, 6 Februari 2011

"Saya beli"

AHAD 30 JANUARI 2011
Hari ini, merupakan hari kedua saya pulang ke kampung. Apabila pulang ke kampung, salah satu perkara  yang paling saya minat lakukan ialah mengikut ibu dan ayah saya ke pasar. Pagi-pagi lagi saya sudah bangun awal. Kata ibu, kalau hendak ke pasar perlu pergi awal supaya orang tidak ramai dan ikan pun akan dapat yang segar-segar. Saya melihat ibu mencari barang-barang yang ingin dibelinya. Apa yang menarik perhatian saya ialah ketika berjalannya urusan jual beli. Berlakunya transaksi jual beli. Si penjual akan berkata “ jual ya”. Manakala ibu saya pula akan menjawab “ ya beli”.
Pada pendapat saya, amalan percakapan ini ketika menjalankan urusan jual beli adalah sangat baik. Di sini, si penjual dengan senang hatinya menjual barang dan perkhidmatannya manakala si pembeli dengan senang hatinya membeli barang dan perkhidmatan tersebut.

Bas

SABTU 29 JANUARI 2011
Assalammualaikum semua, hari ini hari yang amat menggembirkan bagi saya. Saya tidak sabar rasanya  untuk pulang ke kampung. Saya telah mengambil tiket ke Ipoh jam 11.30. Suasana di stesen bas sungguh sesak. Ramai pelajar ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Tidak ketinggalan juga dengan diri saya. Apa yang menarik perhatian saya pada hari ini ialah, kerenah orang ramai ketika di stesen bas. Ketika bas sampai, ramailah penumpang yang berlari ke arah bas. Saya pelik, kenapa perlu berebut padahal semua orang akan dapat juga menaiki  bas. Ketika inilah seorang gadis yang tidak mengendahkan orang ramai. Gadis ini tanpa segan silunya menaiki bas, padahal dibelakangnya ada seorang lelaki tua yang sedang menanti menaiki bas juga. Ketika di dalam bas, gadis ini sekali lagi membuat hal. Dia setelah mengambil tempat duduk saya. Saya menegurnya dengan baik. Tetapi tidak diendahkan  lalu dengan pendiriannya tetap hendak duduk di kerusi itu. Saya terus berlalu ke belakang. Saya terus duduk di bahagian belakang, takut juga saya sekiranya terambil tempat duduk orang lain pula. Tetapi nasib saya kurang baik kerana, kerusi saya tempat sandarnya mudah bergerak. Oleh sebab itu, keselesaan saya  duduk di dalam bas amat mendukacitakan.
Bagi saya walaupun kita berpelajaran tinggi, tetapi akhlak dan budi pekerti kita haruslah dijaga kerana setiap perbuatan yang kita lakukan sama ada baik ataupun jahat akan dipandang oleh orang sekeliling.  Sekiranya kita bersikap tidak baik masayarakat akan memandang serong dan hina kepada kita. Begitulah sebaliknya.

Khamis, 27 Januari 2011

POTONG BARISAN ATAU MEMINTA MAAF?

KHAMIS 27 JANUARI 2011
Hari ini seperti biasa, saya bangun awal untuk ke kelas. Pada jam 7.30 semua mahasiswa dan mahasiswi bergegas untuk ke kelas. Bagi yang kelas jam 8 pagi pasti akan kelam kabut. Tambahan pula apabila bas kitara  ke kampus ataupun Proton City tiada.  Mulai semester ini,saya mendapati banyak perubahan yang berlaku berbanding pada semester  sebelumnya. Jika sebelum ini, mahasiswa atau mahasiswi berebut-rebut untuk menaiki  bas. Tetapi budaya itu jarang sudah berlaku. Kami masing-masing menyedari tanggungjawab sendiri, berebut-rebut ketika menaiki bas adalah suatu yang memalukan kepada kami sebagai bakal pendidik. Tetapi pada pagi ini, saya terfikir sejenak perlakuan seorang mahasiswi ini yang tidak tahu beradap.  Saya bersama rakan-rakan yang lain termasuklah pelajar lain sabar menanti pada baris. Tetapi saudari ini, dengan tanpa sengajanya terus menuju ke hadapan saya dan masuk ke dalam barisan. Wajarkah tindakan saudari ini? Tanpa menguntumkan senyuman, saudari ini tanpa segan silunya terus masuk ke dalam baris. Di manakah malunya?
Bagi saya, perlakuannya boleh diterima sekiranya niatnya tidak sengaja mahupun saudari ini meminta maaf terlebih dahulu untuk memotong baris. Besar kemungkinan saya akan membenarkannya.

Rabu, 26 Januari 2011

Dengarlah Wahai Teman

SELASA 24 JANUARI 2011
Assalammualaikum. Hari ini hari yang paling memenatkan bagi saya. Kerana jadual kuliah saya pada hari Selasa sangat padat.  Namun saya gagahi juga kerana itu adalah tanggungjawab saya di universiti ini. Seharian berada di kampus menyebabkan badan saya terasa amat letih. Pada malam ini, saya menghabiskan masa saya dengan mendengar radio. Pada malam itu saya tertarik dengan kata-kata seorang penyampai radio ini. Kata-katanya membuat saya berfikir sejenak.           Yang berlalu, biarlah berlalu, janganlah anda hidup di dalam mimpi-mimpi buruk masa lalu. Orang yang berusaha kembali masa lalu, adalah tidak ubah seperti orang yang menggiling tepung, padahal dirinya sendiri tergiling di dalamnya.”
Pada pandangan saya, sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti juga akan tertarik dengan kata-katanya penyampai radio ini. Dia bukan sahaja sebagai seorang penghibur kepada para pendengar yang setia pada radio malah turut memberikan kata-kata nasihat sebagai panduan dan pedoman kepada kami yang setia mendengar celotehnya. Terima kasih.

Terima Kasih

ISNIN 24 JANUARI  2011
Assalammualaikum. Hari ini seperti biasa saya akan bangun pagi untuk pergi ke kuliah. Perjalanan pergi dan balikku ke kuliah berjalan seperti biasa. Apa yang menarik perhatianku adalah mengenai budaya berterima kasih. Kami sebagai pelajar UPSI memang tidak lari lagi daripada menggunakan perkhidmatan bas kitaran. Boleh dikatakan, sekiranya pemandu bas kitaran ini tiada, maka tidak dapatlah kami menghadirkan diri ke kelas. Apa yang saya lihat di sini ialah budaya pelajar UPSI mengungkapkan perasaan terima kasih kepada pemandu bas. Budaya berterima kasih ini masih diamalkan oleh pelajar di sini. Saya sendiri menyedari tindak balas pemandu bas kitaran sewaktu kami menyampaikan ucapan terima kasih kepada mereka ketika turun dari bas. Mereka dengan senang hatinya membalas ucapan terima kasih kepada kami.  Budaya berterima kasih ini diharap akan diamalkan selalu walau di mana kita berada, kerana setiap perkara di dalam kehidupan kita pasti akan menerima bantuan ataupun perkhidmatan daripada orang lain. Sekian.

Ahad, 23 Januari 2011

Mintak Maaf

AHAD 23 JANUARI 2011
Assalammualaikum semua, semoga sihat-sihat selalu. Hari ini hari ahad, merupakan hari hujung minggu bagi kami sebagai pelajar rehat di rumah. Apabila rehat di rumah mulalah perut pun lapar. Hari ini saya sangat lapar sehinggalah saya membuat keputusan untuk pergi membeli kuih pau berdekatan dengan kolej kediaman saya. Dari jauh lagi saya terlihat seorang pak cik ini menjual pau bersama anaknya. Saya tertarik dengan cara pak cik ini menjual. Dia menggunakan bahasa yang sangat baik, sedap telinga mendengarnya ditambah pula dengan lirikan senyumanya. Kawan saya sempat bertanya kepada pak cik ini.
            “ pak cik selalu menjual ke pau kat sini” Tanya rakanku
“ mintak maaf banyak-banyak nak, selalunya pak cik menjual tapi pak cik selama 3 minggu jadi pak cik tak dapat menjual. Mudah-mudahan pak cik sihat selalu
Berdasarkan kata-kata pak cik ini, dapat saya katakan  bahawa bukan senang untuk seseorang itu ingin meminta maaf kepada orang lain kecuali apabila melakukan kesilapan ataupun kesalahan. Pak cik ini sedia meminta maaf kepada kami, walaupun bukan kehendaknya untuk tidak memenuhi permintaan pelanggannya. Saya sangat menghormatri keperibadian yang telah ditunjukkan oleh pak cik ini, dan sangat sesuai contohi dan diamalkan oleh kita semua.

Sabtu, 22 Januari 2011

Neka Bahasa

SABTU 22 JANUARI 2011
Assalamualaikum semua, selamat kemabali lagi. Pada hari ini, aku bersama rakan telah pergi ke pasar malam. Kami pergi dalam pukul 5 petang. Keadaan pasar bila menjelang petang semakin riuh dengan suara pengunjung dan juga penjual. Apa yang menarik perhatian aku pada hari ini ialah suara para penjual buah-buahan. Mereka pandai menarik perhatian para penjual untuk melariskan jualan mereka. Contoh perbualan mereka adalah seperti yang berikut:
            “ mari-mari kak, beli kak. Lima sepuluh ringgit. Lima sepuluh ringgit.. Jangan malu-malu kak. Boleh pilih-pilih.”
Penggunaan bahasa mereka penuh dengan retorik pemujukan sehingga diri saya sendiri tertarik untuk membelinya. Mereka pandai menggunakan perkataan-perkataan yang menarik perhatian, ringkas dan juga padat.
            Tidak ketinggalan juga, saya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh para pelanggan ketika menjalankan urusan jual beli bersama peniaga bukan Melayu. Situasi begini telah mewujudkan neka pasar ataupun bahasa pasar.  Penggunaan neka bahasa pasar selalu digunakan untuk tujuan-tujuan tidak rasmi contohnya membeli-belah di kedai, bertanya jalan dan seumpamanya. Selalunya bahasa pasar ini mempunyai ciri tatabahasa dan perbendaharaan kata yang dipengaruhi oleh unsure-unsur daripada perbendaharaan Cina dan juga Tamil. Contoh perbualan mereka:
            “Amoi kasi saya dua kati maa” Penutur Melayu
“ RM2.50 amoi”
“apasal manyak mahal?” penutur Melayu.
Berdasarkan perbualan ini, dapat saya katakan bahawa penutur bahasa yang melakukan kesilapan tatabahasa dianggap tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul, dan kesilapan ini jika diamalkan selalu akan membawa padah yang serius kepada penuturnya. Hal ini kerana, kesilapan neka bahasa adalah kesilapan tatasopan dan budi bahasa ( Abdullah Hassan 1997:247).