Jumaat, 4 Mac 2011

Sendawa

SELASA 22 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua. Seperti biasa hari ini merupakan hari yang sangat letih bagi diri saya. Jadual kelas saya dari jam 8 pagi sehinggalah jam 7 petang. Memandangkan kami tidak dapat pulang ke rumah, saya bersama rakan mengambil keputusan untuk menikmati juadah tengahari di kampus sahaja. Saya bersama rakan mengambil keputusan untuk makan di kafe Bitarasiswa. Waktu tengahari, memanglah ramai pelajar yang makan di Bitarasisiwa ini. Jadi, keadaan di sini agak menyesakkan. Nasib kami baik kerana kami mendapat tempat duduk. Selepas itu, kami pun menikmati juadah tengahari. Ketika saya makan, saya terdengar suatu suara seakan-akan sendawa kekeyangan yang agak kuat. Saya bersama rakan agak terkejut lalu melihat ke arah bunyi tersebut. Barulah kami sedari bahawa, seorang lelaki yang sedang bersendawa dengan kuatnya. Tanpa rasa bersalah, lelaki ini terus ketawa kuat akibat perlakuannya tanpa segan silunya.
            Pada pendapat saya, lelaki ini tidak sepatutnya bersendawa sebarangan secara kuat di hadapan orang umum. Sedangkan saya bersama rakan-rakan yang lain turut mendengar sendawanya. Sendawa selepas makan adalah suatu perkara yang dianggap tidak elok bagi masyarakat Melayu. Perlakuan ini adalah amat memalukan. Meskipun hal ini akan dianggap remeh, bila difikirkan ia adalah amat memalukan. Perkara ini harus dikawal kerana takut kelak akan sering melakukannya sehingga tidak mampu menahannnya.

Pantun Melayu

ISNIN 21 FEBUARI 2011
Assalammualaikum. Kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya akan menjalankan tugas harian saya untuk pergi ke kelas. Hari ini merupakan hari yang malas bagi saya untuk menghadirkan diri ke kelas. Tapi, saya tetap pergi juga. Sewaktu di dalam  bas, saya telah tertarik dengan rancangan radio yang sedang ke udara. Saya tidak pasti, rancangan radio ini daripada saluran mana. Tetapi, saya tertarik dengan ungkapan pantun-pantun yang telah disampaikan oleh penyampai radio tersebut. Penyampai radio ini telah menyampaikan pantun-pantun daripada pendengarnya. Kesemua pantun ini adalah berkaitan dengan soal hati dan juga perasaan. Antara pantun yang saya sempat mendengarnya ialah:
                        Banyak orang mengetam pulut,
                                    Saya seorang mengetam padi,
                        Banyak orang karam di laut,             
Saya seorang karam di hati.
Berdasarkan pantun ini, dapat dirumuskan bahawa bahasa mempunyai hubungan dengan budaya. Sejajar dengan perkembangan bahasa Melayu contohnya, muncul budaya berpantun dalam masyarakat Melayu. Berdasarkan pantun, sesuatu hasrat yang ingin disampaikan oleh seseorang dapat dinyatakan secara halus melalui pantun. Pantun di atas secara halus menyatakan perihal diri pemantun yang sedang berduka sendirian. Banyak lagi pantun Melayu yang memberikan makna tersirat. Hal ini juga turut didorong oleh faktor  budaya masyarakat Melayu yang lemah-lembut dan bersopan santun.

Rabu, 2 Mac 2011

Apa Mau Bikin

AHAD 20 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua, kembali lagi ke laman blog saya. Hari in merupakan hari cuti saya. Masa saya banyak dihabiskan dengan melakukan segala tugasan. Ada kalanya, saya mendengar radio dan adakalanya saya menyanyi kecil bagi menghiburkan hati. Tetapi apabila bosan saya duduk di rumah, saya mengambil keputusan untuk turun ke bawah. Tujuannya hanyalah satu, iaitu melihat rancangan yang sedang berlangsung di televisyen. Saya tertarik dengan rancangan Melodi yang bersiar di TV3. Ketika itu, saya tertarik dengan percakapan yang disampaikan oleh David Teoh mengenai dunia perfileman di Malaysia. David Teoh merupakan seorang yang berbangsa Cina, tetapi beliau cuba berusaha menyampaikan sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa Melayu.
            Bahasa pasar yang telah digunakan oelh David Teo ini juga disebut juga sebagai bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu. Pelat sebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Selain itu, bahasa pasar adalah tidak gramatis kerana mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan. Bahasa pasar menggunakan perkataan ‘banyak’ sebagai kata penguat.

Ahad, 27 Februari 2011

Amalan Kebersihan Budaya Kita

JUMAAT 18 FEBUARI 2011
Assalammualaikum semua. Kembali lagi ke laman blog saya. Hari ini seperti biasa saya bersama rakan menghadiri kuliah di Proton City. Kelas pada hari ini tamat pada jam 5 petang. Selepas habis kelas seperti biasa, saya pulang ke rumah. Setibanya di rumah, mata saya terus tertumpu pada bekas makanan di atas meja rumah.Hati saya terdetik ingin tahu siapakah yang makan sebegitu rupa. Nasi yang basi hanya dibiarkan di atas meja sahaja. Pinggan yang sudah digunakan pula tidak dicuci. Ikutkan hati saya, saya ingin sahaja terus menegur perbuatan yang tidak baik ini. Sudah lama saya perhatikan, tetapi kejadian ini semakin melampau apabila dibiarkan.
            Pada malam itu, satu mesyuarat tergempar rumah telah dilakukan. Rupanya, bukan saya seorang sahaja yang menyedari sikap yang tidak baik itu. Tetapi ada juga yang tidak senang dengan perbuatan itu.  Perbuatan tidak menjaga kebersihan bukanlah amalan dan budaya kita. Kita tidak seharusnya mengambil remeh terhadap hal kebersihan ini, kerana dengan menjaga kebersihanlah akan memperlihatkan keperibadian kita.
            Mesyuarat pada malam itu dimulakan dengan pembacaan doa. Selepas itu teguran daripada ketua rumah. Penggunaan bahasa yang digunakan oleh ketua penuh berhemah dan membina. Tegurannya bukan tertumpu kepada orang yang melakukan kesalahan tersebut, malah kepada kami semua juga untuk dijadikan iktibar dan juga pedoman. Sekian, terima kasih.

Khamis, 24 Februari 2011

Bahasa Mesra

RABU 16 FEBUARI 2011
Hari ini merupakan hari cuti bagi saya. Hari yang tidak dipenuhi langsung dengan jadual kuliah. Jadi saya mengambil keputusan untuk duduk di rumah sahaja. Di rumah saya menghabiskan masa dengan menyiapkan segala tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Selepas selesai membuat tugasan, saya terus mencapai sebuah novel yang bertajuk “Tak Secantik Husna”. Saya tertarik dengan bahasa yang digunakan oleh penulisnya. Watak  utama dalam novel ini ialah Tija.  Penulis novel ini bijak menggunakan bahasa mesra dalam menggambarkan perwatakan Tija yang sedikit manja terhadap ahli keluarganya. Misalnya:
“ tak ada apa Tok Wan. Ni ada tempeyek untuk Mak Tok. Sorry Tok Wan bagi short notis, tak sempat Tija nak belikan cklat kegemaran Tok Wan tu. Yang ni pulak, hah.. tentulah hadiah untuk peminat-peminat Tija nanti” balas Tija tersenyum manja.
Berdasarkan dialog ini, jelas menunjukkan bahawa terdapatnya bahasa mesra di dalam perbualan seharian kita. Bahasa mesra digunakan untuk bercakap dengan anggota kerabat keluarga sendiri. Bahasa ini hanya boleh digunakan apabila berinteraksi sesama sendiri dan di dalam kawasan rumah keluarga. Selain itu juga, bahasa mesra juga boleh digunakan semasa bercakap dengan rakan sebaya.

"Tangkap Cintan"

SELASA 15 FEBUARI 2011
Assalammulaikum semua. Kembali lagi ke halaman blog saya. Hari ini pelajar-pelajar UPSI mendapat cuti sempena hari Maulidur Rasul. Jadi inilah peluang yang saya ada bersama rakan –rakan  untuk pergi ke pekan Tanjung Malim. Hasrat untuk pergi ke pekan Tanjung Malim sudah lama dinyatakan, tetapi memandangkan tidak ada masa yang sesuai dan pelbagai kekangan hasrat ini terpaksa ditangguhkan dahulu. Pada hari cuti inilah, saya bersama rakan telah pergi ke pekan Tanjung Malim. Setibanya di pekan, saya ingin masuk ke suatu kedai ini untuk membeli sedikit barang. Sebelum masuk ke dalam kedai, di kaki lima berdekatan dengan kedai itu terdapat sekumpulan  remaja sedang melepak. Apabila saya dan rakan lalu di hadapan mereka, mereka akan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.  Cara bercakap mereka juga seperti menggunakan bahasa slanga.Perkara yang tidak dapat saya lupakan ialah, apabila salah seorang daripada mereka berkata seperti ini:
            “gua dah tangkap cintan la dengan awek ni”
            (aku sudah jatuh cinta dengan gadis ini)
           
            Apabila mendengar kata-kata sebegini perasaan saya semakin gentar. Tetapi syukurlah mereka tidak mengganggu kami. Apa yang saya ingin bincangkan pada hari ini ialah penggunaan bahasa slanga dalam kalangan generasi muda atau remaja. Penggunaan perkataan slanga seperti cintan dan awek menyebabkan pendengar lain merasakan pengguna bahasa bahasa sudah benar-benar  sudah jatuh cinta dengan saya. Melihat fenomena ini, saya dapati penggunaan bahasa slanga dalam kalangan orang muda ataupun remaja boleh memberi kesan negatif kepada bahasa slanga itu sendiri, kesan kepada masyarakat, dan juga dalam bidang pendidikan. Sekiranya masyarakat menggunakan bahasa slanga secara kerap, akibatnya mereka dipersepsikan sebagai seorang yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan sempurna. Begitu juga kesan kepada pendidikan di Malaysia. Memandangakan pendidikan di Malaysia semakin mencabar, terutamanya dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa utama atau bahasa pengantar di sekolah. Apabila murid-murid di sekolah kerap menggunakan bahasa slanga, sekali gus menyebabkan mereka lemah dalam pertuturan dan penulisan bahasa Melayu.

Sabtu, 19 Februari 2011

Dialek

ISNIN 14 FEBUARI 2011
Assalammualikum semua. Selamat kembali. Hari Isnin merupakan hari yang malas bagi saya, kerana bagi saya hari ini merupakan hari pertama dalam satu minggu setelah dua hari bercuti. Seperti biasa saya akan menaiki bas ke kampus ataupun ke Proton City untuk menghadirikan diri ke kelas. Apa yang ingin saya katakan di sini bahawa, perkara atau peristiwa menarik yang berlaku pada diri saya sering kali berlaku di dalam bas. Hal ini kerana, di dalam bas kita dapat mendengar perbualan mahasiswa ataupun mahasisiwi ini dengan jelasnya. Apa yang menarik minat saya adalah penggunaan bahasa dialek dalam perbualan. Saya telah terdengar perbualan tiga orang pemuda ini di dalam bas. Mereka ini duduk di bahagian kerusi belakang bas. Kebetulan saya berdiri berdekatan dengan mereka. Saya mendengar salah seorang daripada mereka  menyebut huruf “a” pada akhir kata dalam perkataan seperti apa sangat berbeza dari bunyi yang asal. Saya mendengar salah seorang daripada tiga pemuda ini menyebut “apέ”.
            Apabila saya mendengar pemuda ini bercakap begitu, saya tahulah bahawa besar kemungkinan pemuda ini berasal dari Parit, Perak Darul Ridzuan. Saya sendiri juga berasal dari Perak. Tetapi bukan dari Parit.  Selepas mendengar perbualan mereka saya meminta rakan saya dari Kelantan, Kedah, Johor, Melaka untuk menyebut kembali perkataan apa
            Hasil dapatan kajian saya, saya mendapati bahawa bahasa Melayu mempunyai banyak dialek yang berbeza dari segi sebutan, perbendaharaan kata, dan tatabahasa. Orang Kelantan akan menyebut perkataan “apa” kepada “apб” manakala “apə” di Johor, Melaka, dan Selangor. Menurut Noriah Mohammad dialek ini wujud apabila sesebuah kelompok manusia menunjukkan persamaan pertuturan dalam kelompok mereka, tetapi pada masa yang sama menunjukkan perbezaan dengan kelompok lain sewaktu menggunakan bahasa yang sama.